Showing posts with label jQAF SKSPK. Show all posts
Showing posts with label jQAF SKSPK. Show all posts

Saturday, May 23, 2009

Fadhilat Ramadhan

FADHILAT RAMADHAN AL-MUBARAK

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Setiap muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada janji-janji Allah dan Rasulnya pasti bergembira menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada setiap tahun. Begitu juga dengan tahun 1421H ini di mana kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah Subhanahua taala menyambut dan meraikan ketibaan bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan pahala, dengan kegembiraan serta iman taqwa yang teguh. Hanya mereka yang lemah iman sahaja yang merasa cemas dan risau dengan kunjungan Ramadhan. Begitu juga dengan mereka yang tidak mengenali fadhilat atau keberkatannya. Tetapi bagi orang yang dapat memahami fadhilatnya akan menunggu dengan jiwa kesyukuran seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya yang bererti "Sekiranya umatku mengetahui kemulian dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".
Keistimewaan Ramadhan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua bulan mempunyai kelebihan, namun kelebihan Ramadhan tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan oleh nabi kita Muhammad S.A.W dengan sabdanya yang bererti "Bulan Ramadhan adalah penghulu kepada bulan-bulan yang lain".
Muslimin yang terhormat,
Terdapat banyak hadis yang menerangkan keagungan Ramadhan Al-Mubarak, diantaranya sabda Rasullullah S.A.W, Ertinya "Apabila menjelang bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu neraka dan dibelenggu segala iblis dan syaitan".
Hadis di atas ini memberi pengertian bahawa bulan Ramadhan adalah bulan keemasan untuk umat Islam meningkatkan amal ibadah serta memantapkan iman dan membersihkan diri dari kerja-kerja maksiat yang didorong oleh hawa nafsu atau godaan syaitan. Di dalam bulan yang suci inilah sepatutnya mereka melakukan hisab atau muhasabah diri di atas kerja-kerja yang telah dilalui dan akan dihadapi samada yang bermanfaat atau sebaliknya.
Para ulama menjelaskan, Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan sebaik-baik balasan kepada mereka yang berbuat amal soleh samada di awal, pertengahan ataupun di akhirnya. Sebaliknya mereka yang malas dan yang terus melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan dosa, atau memandang bulan Ramadhan itu sama seperti bulan-bulan yang lain, bukan sahaja mereka tidak dapat pahala yang dijanjikan malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan yang boleh menjatuhkan kesucian Ramadhan dan keluhuran akhlak umat Islam seluruhnya.

Hadirin Yang Dihormati,
Ramadhan adalah semulia-mulia bulan, berbagai-bagai kejadian atau peristiwa berlaku di dalamnya, yang menjadikan tarafnya lebih agong dan lebih berkat, di antaranya :
Pertama, perintah Allah Subhanahua taala ke atas kaum muslimin untuk mengerjakan puasa, firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183 yang bermaksud : "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti yang diwajibkan ke atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan dengan berpuasa itu kamu akan terpelihara dan bertaqwa".
Tidak syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia lebih agong dari yang lain.
Kedua, mula turunnya kitab suci Al-Quran dari ayat pertama hingga kelima dari surah Al-¥Alak iaitu tanggal 17 haribulan. Firman Allah Subhanahua taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : "Didalam bulan Ramadhan ini diturunkan di dalamnya kitab Al-Quran yang menjadi hadiah kepada umat manusia dan membezakan antara yang hak dan bathil".
Ketiga, dalam bulan Ramadhan ini juga umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah atau zakat badan serta zakat harta benda ke atas mereka yang mencukupi syaratnya. Kefardhuan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini menggambarkan betapa eratnya hubungan puasa dengan zakat. Kedua-duanya wajib dikerjakan dengan sempurna. Maka tidak sempurna agama seseorang itu jika hanya melakukan salah satu daripadanya. Hal ini dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya, yang bermaksud "Pahala puasa Ramadhan tergantung-gantung di antara langit dengan bumi, ia tidak terangkat ke langit kecuali dengan zakat fitrah".
Keempat, di sepanjang bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini, Allah Subhanahua taala menghadiahkan kepada umat Islam satu malam yang pahala atau keberkatannya seribu bulan, yang dinamakan Lailatulqadar. Kerana itu, maka menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimat berusaha untuk mendapatkan keagongannya. Iaitu memperbanyakkan zikrullah, bertakbir, bertahlil, berdoa dan lain-lain ibadah yang dituntut dalam Al-Quran dan sunah Rasul. Nabi Muhammad S.A.W menggalakkan umatnya beribadah pada malam tersebut dengan menghampirkan diri kepada Allah Subhanahua taala melalui majlis Qiamullail, beristighfar dan bertadarrus Al-Quran di sepanjang malam pengampunan dosa ini. Janganlah ada orang Islam yang memandang kelebihan malam LailatulQadar sama seperti malam-malam yang lain.

~Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa. ~~Tanda Orang Bijaksana Ialah Hatinya Selalu Berniat Suci; Lidahnya Selalu Basah Dengan Zikrullah; Matanya Menangis Kerana Penyesalan (Terhadap Dosa); Sabar Terhadap Perkara Yang Dihadapi Dan Mengutamakan Akhirat Berbanding Dunia. ~~~"Akal itu menteri yang menasihati, Hati itu ialah raja yang menentukan, Harta itu satu tamu yang akan berangkat, Kesenangan itu satu masa yang ditinggalkan". ~~~~" Cinta seringkali akan lari bila kita mencari, tetapi cinta jua seringkali dibiarkan pergi bila ia menghampiri" ~~~~~"Ingatlah, sabar itu iman, duit bukan kawan, dunia hanya pinjaman dan mati tak berteman.." ~~~~~~" Lidahmu adalah bentengmu, jika engkau menjaganya maka ia akan menjagamu, dan jika engkau membiarkannya maka ia tidak akan mempedulikanmu" ~~~~~~~" Cakap sahabat yg jujur lebih besar harganya daripada harta benda yg diwarisi dari nenek moyang" (Saidina Ali) salam kasih abadi." ~kasih4u "


"Hidup terbina antara pahit dan manis. Kalau selalu sahaja pahit, hati akan menjadi rawan dan kalau sentiasa manis hati akan menjadi bosan " [Hamka]...Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah. -Saidina Abu Bakar As-Siddiq.